Wanita penyumbang ekonomi negara
Rohani Abdul Karim (empat dari kiri) dan Fully Chye Goet Lee (enam dari kiri) bersama sebahagian 15 penerima Anugerah Wanita Cemerlang 3K pada program Wanita Cemerlang 3K (Keluarga, kerjaya dan Kemasyarakatan) di Institut Sosial Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sumbangan wanita sama ada sebagai isteri, ibu serta pekerja yang mempunyai gaji, dalam pembangunan bangsa dan negara adalah amat penting.
Mereka bukan sahaja memainkan peranan utama dalam pembentukan generasi akan datang malah penyumbang ekonomi yang penting.
Penglibatan wanita sebagai pekerja sudah lama berlaku, iaitu bermula dengan aktiviti sara diri dalam sektor pertanian.
Namun dengan peredaran masa, peningkatan pendidikan wanita dan perubahan struktur ekonomi Malaysia, menyebabkan penglibatan mereka menjadi semakin ketara.
Menyedari pelbagai peranan wanita dalam keluarga, masyarakat, dan ekonomi negara, kerajaan telah merancang pelbagai strategi yang khusus melibatkan wanita secara berkesan dalam proses pembangunan supaya potensi wanita dapat dioptimumkan.
Usaha gigih perlu diambil untuk membantu wanita melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan ekonomi yang utama supaya kepentingan dan penyertaan wanita tidak terabai.
Salah satu program yang membolehkan wanita bergerak selangkah ke hadapan untuk sama-sama menyumbang kepada sektor ekonomi negara adalah Program Wanita Cemerlang 3K (Keluarga, Kerjaya, dan Kemasyarakatan).
Program ini menjadi ruang kepada wanita cemerlang untuk berkongsi idea dan pengalaman dalam melaksanakan tanggungjawab daripada perspektif keluarga, kerjaya dan kemasyarakatan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, walaupun mempunyai bakat dan kemahiran, wanita yang ingin menceburi bidang perniagaan atau mengembangkan perniagaan tetap berdepan dengan pelbagai cabaran khususnya bagi mendapatkan dana atau pembiayaan.
Dalam hal tersebut, kerajaan telah menyediakan bantuan yang sewajarnya untuk membolehkan usahawan dan bakal usahawan wanita mendapat akses kepada kemudahan pinjaman dan pembiayaan termasuklah menerusi skim pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).
Terbaharu, Tekun memperuntukkan pinjaman sebanyak RM1.13 juta kepada 113 usahawan wanita yang akan menceburi perniagaan jahitan di bawah Program Wanita Cemerlang 3K yang setiap seorang akan menerima RM10,000.
Dengan adanya agensi kerajaan seperti Tekun, usahawan ditawarkan pelbagai skim pinjaman bermula daripada pinjaman mikro hingga sederhana.
"Sekarang, masalah kekurangan dana yang dihadapi oleh usahawan dan bakal usahawan wanita dapat diatasi," katanya dalam majlis perasmian Anugerah Wanita Cemerlang 3K di Institut Sosial Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut, beliau turut mengumumkan penubuhan Galeri Wanita sebagai pusat sehenti bagi mempamer dan menjual hasil kerja kreatif golongan wanita untuk dipasarkan kepada pelancong tempatan dan asing,
Program Wanita Cemerlang 3K yang dianjurkan Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia, telah menganugerahkan 10 usahawan jahitan daripada Persatuan Seni Jahitan Malaysia yang berjaya menjana pendapatan purata bulanan RM3,000 ke atas.
Anugerah itu bukan hanya menilai pencapaian wanita daripada sudut pulangan wang tetapi juga mentakrif pencapaian mereka daripada sudut sumbangan terhadap masyarakat setempat.
Peranan wanita
Pengerusi Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia, Fully Chye Goet Lee berkata, melalui program ini diharap pihak kerajaan, swasta dan masyarakat dapat melihat betapa pentingnya peranan wanita dalam pembangunan negara.
Program ini cuba menyebarkan mesej tugasan seseorang wanita itu bukan sekadar pengurus rumah tangga, malah merupakan pencari nafkah bagi membantu suami dan menyalur sumbangan untuk masyarakat setempat.
Ia selari dalam konteks masyarakat moden yang mengiktiraf kesamarataan hak, peluang dan layanan dari segi gender dan etnik untuk mewujudkan masyarakat harmoni dan maju," katanya,
Sementara itu pemenang utama Anugerah Wanita Cemerlang 3K, Suziana Osman, 39, dari Sarawak berkata, pendapatan bulanannya boleh mencecah sehingga RM18,000 melalui kemahiran jahitan pakaian pengantin dan baju kurung.
Bagi pakaian pengantin, saya mengambil masa selama tiga hari untuk menyiapkannya manakala baju kurung pula dalam tempoh satu hari sahaja.
Setiap bulan, untuk pakaian pengantin, saya mengambil 10 tempahan sahaja kerana lebih mengutamakan kualiti berbanding kuantiti," katanya.
Beliau, yang memulakan perniagaan sejak remaja lagi, sehingga kini telah mempunyai tiga butik pakaian.
Menyedari bahawa pentingnya wanita memiliki pendapatan sendiri, dia sanggup menghadapi pelbagai cabaran dan cemuhan daripada masyarakat dan menganggap semuanya adalah asam garam dalam berniaga.
Saya belajar daripada pengalaman dan melaluinya saya mampu menghadapi segala rintangan sehingga berjaya mencapai apa yang saya ingini.
"Saya berharap wanita-wanita di luar sana kuat semangat kerana bidang keusahawanan ini banyak risiko dan cabaran," ujarnya.
Ditanya mengenai Program Wanita Cemerlang 3K, kata Suziana, ia dapat memberikan keyakinan serta pengiktirafan kepada wanita-wanita yang telah berusaha keras memajukan diri mereka.
Program ini juga katanya, menjadi pendorong kepada wanita-wanita lain di Malaysia untuk berjaya.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Feminin/20140624/fe_01/Wanita-penyumbang-ekonomi-negara#ixzz4XL67ZW1V
© Utusan Melayu (M) Bhd
